Oleh: Al Amin bin Mohamed Sultan
AYER KEROH, 29 Mei – Masih ramai rakyat Malaysia yang kurang peka berkaitan politik antarabangsa terutama isu berkaitan pergolakan di bumi Gaza, Palestin dan Syria. Komplikasi yang sering dikaitkan dengan negara-negara ini berada dalam keadaan samar-samar pada mata masyarakat kita.
Mengambil inisiatif memberikan kesedaran kepada masyarakat sekitar, Jawatankuasa Kolej Kediaman (JAKSIS) Murni, D’Apartment dan Makmur, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Program Ceramah Kesedaran Gaza dan Syria baru-baru ini bertempat di Masjid Saiyyidina Abu Bakar, UTeM.
Program ini yang diadakan sepetang secara santai ini telah disertai oleh para mahasiswa dan juga staf di universiti tersebut. Ceramah ini telah disampaikan oleh Zairi bin Suboh, 32, anak muda dari sungai putat, ,Melaka yang telah menjejakkan kaki ke bumi gaza baru-baru ini sebagai peserta misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif, NGO yang agresif memperjuangkan isu-isu Palestin dan Syria.
Menurut Zairi, pembebasan Syria dan Palestin sangat berkait rapat antara satu sama lain, dan ada ketikanya apa yang berlaku di Syria lebih teruk daripada apa yang berlaku di Gaza kerana banyak sumber informasi yang disekat daripada sampai ke pengetahuan masyarakat antarabangsa terutama kekejaman rejim Bashar yang menyerang rakyatnya sendiri.
Menurut salah seorang peserta yang hadir, Mohamad Ili Audi bin Md Yusop, 20, program sebegini amat penting untuk mendapat informasi dan kesedaran realiti yang terbaru.
“ Saya sangat menggalakkan program sebegini untuk kerap dianjurkan dan dibuka penyertaan kepada seluruh rakyat sekitar agar mereka turut mendapat ilmu dan informasi berkenaan perkara ini. Malah saya juga amat menyokong kempen kesedaran Palestin dan Syria yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif selaku badan penggerak kebebasan dan kemerdekaan Palestin dan Syria di Malaysia”. Katanya lagi.
Menurut Penolong Pengurus Kolej Kediaman, Shahrom bin Mohd Said berkata, program ini bertujuan memberikan kesedaran kepada para mahasiswa yang kurang berminat dengan perkara-perkara sebegini yang sebenarnya sangat penting terutama apabila memikirkan mahasiswa inilah yang akan menjadi pemimpin masa depan negara kita.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan warga UTeM dengan sejumlah sumbangan telah diserahkan hasil kutipan ketika ceramah tersebut. Kutipan tersebut akan disalurkan kepada Gaza dan Syria melalui Aqsa Syarif Melaka.
Sesi ceramah ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Pengetua Kolej Kediaman Murni, D’Apartment & Makmur serta sesi bergambar.
Deskripsi Gambar:
1-Sebahagian daripada mahasiswa UTeM Murni yang hadir
2- Antara staf yang hadir memberikan tumpuan kepada ceramah
3- Zairi bin Suboh, Aktivis Gaza yang menyampaikan ceramah
4-Sebagaian Jemaah yang hadir mendengar pengisian
5- Zairi menerima cenderahati daripada pengetua mewakili penganjur
0 comments:
Post a Comment